Ramai golongan muda belum daftar mengundi
Oleh Sazarina Shahrim
KUALA LUMPUR: Sebanyak 70 peratus daripada 4.9 juta rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi sehingga Disember lalu, adalah golongan muda berusia antara 21 hingga 35 tahun.Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kebanyakan mereka pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan yang baru bekerja.
“Kita sudah memberi segala kemudahan, seperti membuka kaunter pendaftaran setiap hari sepanjang tahun dan tempoh pendaftaran pula tidak sampai 10 minit.
“Bagaimanapun, mereka tidak begitu mengambil berat atas alasan sibuk,” katanya selepas melancarkan kempen pendaftaran sebagai pengundi anjuran Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh) di sini, semalam.
Kempen peringkat kebangsaan itu pertama kali dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum di negara ini.
Wan Ahmad berkata, sehingga Disember lalu 15.2 juta rakyat layak mengundi selepas mencapai umur 21 tahun, tetapi hanya 10.3 juta yang mendaftar sebagai pengundi.
Selangor mencatat jumlah paling ramai penduduk yang belum mendaftar, iaitu 600,000 orang, diikuti Sarawak (450,000), Johor (400,0000), Perak (375,000) dan Kuala Lumpur (300,000).
Beliau berkata, pelbagai usaha dan program dijalankan SPR bagi memudahkan rakyat mendaftar sebagai pemilih, tetapi sambutannya tetap kurang memberangsangkan.
“Sikap menunggu saat akhir atau menjelang pilihan raya, tidak peduli hak di sisi Perlembagaan serta tidak mengetahui kepentingan menggunakan hak sebagai pengundi, menjadi faktor 4.9 juta rakyat Malaysia belum mendaftar,” katanya.
Wan Ahmad berkata, SPR memerlukan masa sehingga tiga bulan untuk memproses setiap pendaftaran sebelum disahkan sebagai pengundi. Selepas pembubaran Parlimen, SPR ada 60 hari untuk tentukan tarikh pilihan raya dan jika ketika itu, ada yang mahu mendaftar, ia sudah terlewat.
Wan Ahmad berharap NGO lain mencontohi kempen dianjurkan oleh Geraksikh bagi memastikan semua rakyat yang layak mengundi, mendaftar sebagai pemilih.
Sementara itu, Presiden Geraksikh, Tan Sri G Darshan Singh berkata kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga Malaysia khususnya golongan muda untuk mendaftar sebagai pengundi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, Geraksikh juga akan mengadakan beberapa aktiviti bersama SPR termasuk melawat Institusi Pengajian Tinggi (IPT), tempat ibadat dan sewaktu musim perayaan bagi menjayakan kempen pendaftaran pengundi itu.
In 22 days, I'm going to turn 21. :P
No comments:
Post a Comment